Fiqo' Naim Al-Mujahid

Tinta Jeritan Hati...

Bukan Sekadar Angguk ep 18.


Kereta MyV berwarna oren itu meluncur pantas. Sekelip mata sahaja kelajuannya mencecah 120km sejam. Izzati yang sempat menahan Epool kini berada bersama-sama abangnya di dalam kenderaan keluaran siri khas Perodua itu. Epool tidak menampakkan sebarang reaksi pada pemanduannya yang berbahaya itu, bahkan langsung tidak mengendahkan Izzati yang sudah mula menunjukkan ketakutan. Wajah Izzati berkerut, ada peluh yang memercik di dahinya yang tiada cela jerawat itu.


“Abang! Tak boleh bawak perlahan sikit ke?” Izzati akhirnya bersuara. Nada suaranya naik satu oktah.


Epool langsung tidak mengendahkan adiknya. Malah pemanduannya semakin tidak keruan apabila sudah 2 lampu isyarat merah dilanggarnya. Epool dikuasai amarah. Di mana puncanya, Izzati bingung sendiri. Sedangkan baru sahaja tengahari sebelum itu Epool menelefonnya dalam keadaan gembira bukan kepalang. Ada surat yang baru diterimanya.


Sentap!


Itulah ketika Izzati sedar asbab kejadian. Sehari sebelum itu dia sempat melihat Khadijah mengarang sepucuk surat, dalam keadaan air matanya sendiri mengalir halus ke pipi. Namun dia langsung tidak ambil pusing memandangkan itu bukanlah urusannya. Sehari selepas itu pula abangnya menerima seutus surat dan pasti abangnya menerima daripada seseorang yang disukainya.


“Khadijah ada cakap apa-apa dengan abang ke?”


Kini pandangan Izzati penuh dengan rasa kasihan yang berbaur rasa cemas. Belum pernah lagi dia melihat Epool dalam keadaan begitu berang. Tambah lagi abangnya itu bersikap relaks, bukan mudah melatah seperti ini. Izzati berasa bagaikan sedang melihat orang lain di sebelahnya.


“KENAPA TAK PERNAH CAKAP KAT ABANG??” suara Epool lantang. Pedal minyak semakin ditekan. Izzati tertolak ke tempat duduknya. Belakangnya terhempas sedikit.


“Kalau ye pun abang pakailah tali…”


“JAWAB SOALAN ABANG!”


“Soalan ape? Apa yang Izzati tak bagi tahu abang?”


Izzati berusaha meneutralkan keadaan. Seringkali Epool yang jadi pihak yang akan beralah, dan yang berusaha menenangkan keadaan jika Izzati mula marah. Namun kali ini, Izzati faham sendiri bahawa dia perlu sentiasa bertenang.


“Tentang Khadijah. Kenapa tak pernah beritahu Khadijah dah bertunang?”


Sentap. Keadaan inilah yang benar-benar dirisaukannya sebelum ini. Khadijah pernah memberitahunya mengenai perkara ini dan sememangnya dia berhajat untuk menamatkan rasa suka abangnya pada Khadijah. Siapa sangka keadaan tidak seperti yang dirancangnya?


Surat yang diterima abangnya bukanlah tanda penerimaan, tetapi penolakan yang sukar diterima. Belum pernah sekali pun ada yang mengetuk pintu hatinya sedemikian rupa, yang menjadi umpama satu daya penolak untuk Epool berusaha menjadi lebih baik dan elok. Tempoh sepanjang hamper-hampir satu semester berkenalan dengan Khadijah membuatnya lebih akrab pada sejadah, malah zikir harian mula berjinak-jinak di lidahnya. Epool sedar untuk memiliki wanita sebaik Khadijah, maka dia perlu beranjak untuk berada satu aras dengan akhlak Khadijah. Satu perkara sahaja yang dia lupa.


Keikhlasan.


“Abang kena terima perkara ni. Cinta bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Kenapa abang melenting sampai macam ni?”


Diam. Epool tiada jawapan untuk soalan itu. Dirinya sendiri bingung bagaimana sekelumit rasa yang bergelumang di hatinya itu menjadi asbab untuk tindakannya sekarang. Yang pasti, rasa suka dan sayang yang baru berjinak di hatinya itu kini musnah, dan setiap kali memikirkan rasa perit hati yang berkecai itulah yang menjadikan nafsu amarahnya mendadak. Bukanlah marah pada sesiapa, tetapi memarahi diri sendiri. Terasa seakan-akan bodoh menanti sesuatu yang telah pun disunting orang lain. Epool bingung. Hingga fokusnya pada pemanduan yang sememangnya tiada, semakin hilang.


Tanpa disedari seeokor lembu melintas betul-betul di hadapan mereka pada jarak kurang daripada 100 meter. Dengan kelajuan yang kini mencecah 130km sejam, Epool tersentak melihat kehadiran lembu yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapan mereka. Dalam keadaan kelam kabut pedal brek ditekannya sekuat tenanga, berharap sempat untuk mengelak haiwan tersebut.Gagal. Brek sama sekali tidak berfungsi. Stereng dipulas tanpa haluan. Akibatnya kenderaan keluaran Perodua itu hilang kawalan, lalu melanggar divider jalan lalu memasuki lorong bersebelahan mereka. Izzati merasakan tiap detik kenderaan itu terbabas umpama satu imbasan masa lampaunya, sebelum mereka dirempuh pula oleh sebuah lori yang kebetulan lalu di laluan bersebelahan yang menuju ke destinasi bertentangan. Semuanya berlaku dalam sekelip mata sahaja.


**********************************************************************************


Hamizan, Taufik, dan Iqbal yang berusaha mengekori mereka dari belakang terkejut melihat kenderaan itu melambung di hadapan mereka. Ditambah lagi dengan rempuhan dari lori menambahkan kengerian tragedi senja itu. Istighfar meniti lidah masing-masing. Walaupun ada antara mereka yang hanya mengikut sahaja tanpa benar-benar berhajat berbuat sedemikian.


Iqbal memberhentikan Kelisa merah yang dipinjamnya daripada Khadijah di laluan kecemasan, betul-betul di belakang kenderaan Epool dan Izzati selepas membuat u-turn di lampu isyarat berdekatan. Lori yang merempuh mereka cabut tanpa memberi sebarang bantuan, mungkin kerana terlalu panik. Perodua MyV oren itu pula remuk teruk.


Izzati kelihatan lemah berlumuran darah. Epool langsung tidak bergerak, dan lebih parah dibandingkan dengan Izzati. Kaki kiri Izzati tersepit di antara kerusi dan dashboard MyV oren itu. Dalam keadaan lemah tanpa tenaga, Izzati berusaha menahan rasa sakitnya yang bukan kepalang.


“MasyaAllah!”


Itu sahaja yang mampu diungkapkan mereka. Izzati tidak mampu lagi menahan sakit. Air matanya berjujurun. Darah tidak henti-henti memercik dari kakinya yang tersepit.


Dalam masa yang sama petrol mula menitik dari tangki minyak. Mahu tidak mahu, kaki Izzati yang tersepit itu perlu dipotong. Jika tidak Izzati akan renting bersama kenderaan yang kini hancur teruk. Epool tidak lagi kelihatan bernyawa. Izzati yang melihat keadaan abangnya meraung kesedihan.


“Sudahlah tu Izzati! Awak perlu selamatkan diri awak sekarang..” Hamizan berusaha menenangkan Izzati. Iqbal melihat-lihat keadaan kereta dengan penuh teliti walaupun cemas.


Hampa. Tiada tanda-tanda ada cara lain untuk mengeluarkan Izzati tanpa memotong kaki kirinya, atau Epool yang tersepit teruk di tempat duduk pemandu. Iqbal nekad, Izzati perlu diselamatkan.


“Kita perlu potong kaki awak. MAsa semakin suntuk,” Iqbal mendapatkan Hamizan yang berusaha mengeluarkan Izzati. Setiap kali mencuba, gagal. Memang tiada cara lain. Kaki kiri itu perlu dikorbankan.


Taufik melihat sahaja dari tepi. Kaku. Iqbal mengarahkannya segera menghubungi ambulans namun masih belum dilakukannya. Kejadian dihadapannya membuat seluruh sistem tubuhnya seakan-akan terkandas seketika.


“Taufik! Dah call ambulance belum?” Iqbal cuba mengejutkan Taufik yang seakan-akan kehilangan roh dari badan. Tersentak. Segera telefon bimbitnya dikeluarkan. Tiba-tiba sahaja laluan Ipoh-Lumut itu lengang. Lebih parah lagi semua talian telefon gagal berfungsi. Masing-masing mempunyai bateri di hujung nyawa.


“Awak sedia?”


Iqbal sedaya upaya buat-buat tenang. Inilah kali pertama dalam hidupnya terpaksa berhadapan dengan situasi yang memerlukan dia membuat keputusan segera. Hamizan berdebar-debar. Bagaikan hendak jatuh jantungnya dari rangka tulang. Mereka tiada pilihan. Jika menunggu lagi mungkin Izzati akan terkorban bersama abangnya di dalam kenderaan itu.


Tiada cara lain. Izzati berusaha mengumpul segenap kekuatan dalam dirinya. Kali ini bukan seperti cerita dalam wayang, dengan efek yang dijana oleh computer dan sebagainya. Tetapi benar-benar selepas ini kaki kirinya akan tiada lagi. Izzati beristighfar lalu menarik nafas panjang. Kepalanya diangguk tanda bersetuju. Matanya dipejam.


“Bismillah…..”


Bukan sekali dua cubaan memisahkan kaki Izzati dari tubuhnya. Tiap percubaan itu jugalah kedengaran Izzati meraung menahan sakit. Beberapa kenderaan turut berhenti mahu memberikan bantuan. Namun kebanyakannya hanya mampu melihat sahaja. Izzati menderita tidak tertanggung, tetapi harus disegerakan memandangkan bila-bila sahaja kereta itu akan meletup.

Usai sahaja Izzati di dalam kereta, Iqbal memecut pantas menuju ke Hospital Batu Gajah. Belum sempat beberapa meter mereka berjarak dari tempat kemalangan, kereta MyV oren itu meletup.


Cair. Ini kali pertama Iqbal menangis kerana seorang perempuan. Hatinya bertambah luluh untuk Epool, yang tidak dapat diselamatkan.


Bersambung…


0 comments:

Followers

Jeritan Hati

Dalam kesamaran mencari tinta iman yang semakin hilang,
terdampar aku dek pukulan ombak kekeliruan..
Oh..semakin aku melawan, semakin aku ditimpa kekalahan..
Semakin aku mengalah, semakin kuat jiwaku menyerang..

Blog Archive

Labels

Blog Archive