Episod Khas RAMADHAN tiba di titik penghujung. Tirainya yang terbuka luas kini menuju waktu untuk kembali bertutup. Ramadhan kali ini tidak seperti sebelumnya. Beranjak sahaja setahun lagi maka Fiqo akan menghabiskan masa berpuasanya di tanah orang lain. Ramadhan yang disambut adalah yang terakhir di sisi keluarganya. Sisa-sisa debaran semasa menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah di bulan yang mulia itu kini sedikit demi sedikit bertukar pada debar menanti keputusan yang akan diumumkan sekitar Disember. Fiqo membuang pandangannya ke halaman rumah. Anak-anak kecil berlari-lari girang. Bermain dan ketawa, tanpa risau akan apa-apa masalah. Melihat adik lelakinya, Naim ketawa riang, Fiqo tersenyum sendiri lantas membuatkan rindu pada zaman kanak-kanaknya bertandang. Fiqo mengalihkan pula perhatiannya ke langit. Angin petang itu menampar-nampar lembut wajahnya yang sedikit berjerawat. "Kau sure keputusan kau ni muktamad? Bukan kau ada segalanya ka di sini? You have the respect of the teachers, you have your beloved friends, plus you are the next candidates for the Persatuan Pelajar Islam (PERPIS) here line up kan? Kau mau tinggalkan tanggungjawab kau macam tu ja?" Rozana mempersoal keputusan Fiqo untuk berpindah. Seharusnya keputusan itu menjadi rahsia namun atas hubungan mereka sebagai sahabat sepersatuan, maka Rozana adalah antara orang yang menjadi tempat rujukan dan berbincang. "Siapa pulak cakap aku mau tinggalkan tanggungjawab ni? Siapa tahu nanti lepas aku keluar dari kelompok selesa ni, akan ada orang yang lebih baik untuk menggantikan barisan kepimpinan sekarang? Bukan kau nda tahu kan? Takdir Allah itu unik, setiap perjalanan sejarah untuk setiap manusia tidak sama. Aku menyahut seru ak. Seakan-akan kehidupan asrama itu adalah pilihan yang baik," Fiqo membalas tenang. "Tapi, kau kan baru ja masuk dalam forum? Siapa pulak akan ganti kau nanti? Tambah lagi, kita baru ja rampas balik kejuaraan debat dari sekolah lawan tahun lepas tahun ni. Itu pun kau mau tinggalkan?" Rozana masih memprotes. "Ala Jana. Kan suda dia cakap tadi, takdir Allah itu unik. Ini perancangan dia, kita nda tau lagi perancangan Allah untuk dia macamna. Boleh jadi dia pindah, boleh jadi tidak. Yang kau ni pulak habis-habisan membantah ni apa hal?" Nizam mencelah dalam perbualan mereka. Rozana diam. Soalan itu yang paling ditakutinya untuk keluar dari bibir salah seorang daripada mereka. Habislah! Ni menjerut leher sendiri namanya! Bisiknya sendiri. Fiqo kembali ke alam nyata apabila mendengar ibunya memanggil. Langsung tidak disedari senja sudah mula berlabuh. Langit sedikit demi sedikit menjadi kelam. Sinar-sinar kemerahan mula menampakkan wajah. Tanda maghrib sudah semakin hampir dengan waktunya. Naim sudah berhenti bermain. Taat sahaja ia apabila Pn Jubiah memanggilnya masuk ke dalam rumah. Anak berusia 6 tahun itu begitu lincah. Ada-ada sahaja kerenahnya. "Abang, dukung Naim naik atas?" Naim meminta. Manja sahaja suaranya. "Eih.. mengada-ngada. Naik la bah sendiri. Boleh kan jalan?" "Ala.. Naim penat bah bang. Pleashhh....." Fiqo tersenyum mendengar sebutan Naim yang keanak-anakan. Sebutan yang tidak jelas tetapi maksudnya sampai. Malahan menyentuh ke hati. "Haha.. sebut pun nda betul mau cakap Inggeris. Bah2.. marilah sini," Fiqo duduk sambil membelakangi Naim. Perlahan-lahan Naim naik ke belakang abangnya sambil ketawa. Terlalu gembira gamaknya. "Naim, abang tu kan puasa, ada pulak suruh yang bukan-bukan," Puan Jubiah menegur. Lantang tetapi halus kedengaran. "Nda pa mak. Bukan selalu kan? Nanti saya masuk asrama mana ada suda begini, hehe..." Fiqo membalas sopan. Puan Jubiah menggelengkan kepala melihat kerenah anak-anaknya. Naimlah pengubat rindu. Naimlah racun, dialah jua penawar. Lahir sebagai anak bongsu kepada keluarga itu menjadikan Naim begitu istimewa. Fiqo adalah abang yang paling rapat dengannya. Naim membesar dalam jagaan kedua-dua insan yang paling dekat di hatinya, Fiqo dan ibunya. Lantaran sikap Fiqo yang selalu sahaja menjadi ekor ibunya, hampir setiap tingkah laku dan pekerjaan ibunya dipelajari dan diamati. Tubuh kecil Naim itulah yang seringkali diurut-urutnya ketika kecil, yang dimandikan, yang didodoikan, dan yang dibersihkan. Tiap satunya menjadi kenangan indah untuk Fiqo. Malam itu jamahan berbuka serba sederhana. Tidak seperti selalunya, ayah Fiqo tidak bersama berbuka hari itu. Khabarnya akan sampai pada keesokan pagi, tika takbir berkumandang. Sibuk dengan pekerjaan sebagai buruh yang sentiasa jauh daripada keluarga menjadikan Fiqo matang dalam berfikir, malah dia membesar dengan kehadiran ayah yang boleh dihitung dalam kehidupannya. Bagi Fiqo, Puan Jubiahlah ibu, dia jualah ayah. Pada malam raya beginilah kampungnya akan menjadi meriah dengan lampu-lampu pelita, kanak-kanak yang girang bermain bunga api, dan kenduri kecil tanda kesyukuran menyambut kedatangan syawal. Sejurus selepas pengumuman hari raya, berkumandang sorakan-sorakan riang di hampir setiap rumah yang bersambung dengan jambatan. Suasana riangnya tidak terkata, hanya berselirat dalam tawa dan gembira. "Fiqo, malam ni tolong wakilkan mak pergi kenduri di kampung sebelah boleh? Kaki mak sakit," "Jauh jugak," "Nda la. Rasa nda manis pulak kalau mak nda pigi kan. Sebelum ni mak cik kamu tu banyak bantu kita kan?" "Oh. Yang tinggal dekat dengan kilang kayu tu? Boleh2. Lagipun saya lama suda kan nda tengok-tengok mak cik," Lilin yang menjadi pengganti pelita di potong-potong pendek. Tujuannya ingin menghidupkan suasan hari raya. Menghidupkan pelita keliling rumah. Fiqo bersetuju sahaja dengan permintaan ibunya tanpa bantahan. Puan Jubiah pula menyambung pekerjaannya menyusun kuih ke dalam balang. Naim melihat sahaja abangnya. Melekat sahaja adiknya yang seorang ini. "Abang, nanti Naim yang kasi hidup api ya?" Baju Fiqo ditarik-tariknya. Matanya bersinar harapan. "Alahai Naim. Abang nda berani la kasi Naim yang buat sendiri. Nampak kan apa yang jadi di Tv kalau budak-budak main api?" "Ala...," "Ginilah, kita buat sama-sama, boleh?" Naim mengangguk sambil senyuman lebar terukir di wajahnya. Fiqo kembali menyambung memotong jumlah batang lilin yang masih bersisa sebelum bergerak mengelilingi rumah. Naim seperti biasa, mengikut sahaja. Wajahnya penuh rasa ingin tahu. Satu persatu lilin dihidupkan. Naim mengintai dari tingkap rumah. Dapat dilihat dengan jelas betapa malam itu kini disinari lampu-lampu pelita dari rumah-rumah jirannya. Langit kelam sahaja. Bintang-bintang bersembunyi. Mendung menyinggah sejenak di tanah Tanjung Batu Laut. Fiqo pula memerhati Naim yang sedang asyik. Melihat ibunya yang sedang sibuk, Fiqo segera mendapatkannya lalu duduk bersebelahan. Tanpa disuruh mudah sahaja dia menyusun kuih-kuih yang masih bersisa ke dalam balang. "Mak, kiranya tahun ni last la sudah kan saya sahur di rumah. Macam mana la tu ya puasa di asrama?" "Hmm.. nda tau la. Jaga diri bagus-bagus nanti di tempat orang," Ada nada ketar dalam barisan ayat itu. Fiqo dapat merasainya namun sengaja dibiarkan. Tak mahu suasana menjadi hiba. "Abang, nanti Naim nak ikut abang boleh?" Fiqo sedikit kaget. Tiba-tiba sahaja anak kecil itu merangkulnya dari belakang. "Eish budak ni. Terkejut abang tau. Eh, Naim mau ikut? Nda payah la. Malam bah ni," Fiqo membantah halus. Dicubanya agar Naim tidak tersentuh. "Ala.... Mak, Naim mau ikut," Naim beralih pula pada ibunya. Mencuba nasib. "Hmm... Naim tanya abang. Kalau Fiqo kasi, Naim ikutlah," Naim memandang abangnya. Sengaja dia baring di atas riba Fiqo dan berdiam. Mulalah tu, fikir Fiqo. "Yalah2.. budak ni kan, asyik jadi ekor aku ja," Rambut Naim dikacaunya. Habis berserabut. Naim melonjak-lonjak keriangan. Segera dia masuk ke bilik mencari kopiah manik yang ibunya buatkan. Berwarna-warni, sama seperti yang dipintanya. Beberapa ketika kemudian Naim keluar semula berpakaian melayu lengkap berwarna biru muda, baju yang pernah menjadi milik Fiqo semasa dia sebaya Naim. Fiqo dan Puan Jubiah tersenyum. Ada-ada sahaja anak ini, fikir Puan Jubiah. Fiqo dan Naim kini bersedia untuk bertolak. Dilihatnya sekeliling tidak lagi seperti tadi. Kebanyakan pelita lilin mula padam dek angin yang bertiup. Bagaikan hendak hujan. Puan Jubiah membekalkan beberapa bungkus kuih dan ketupat yang dibuat, berserta buras, sejenis makanan yang seiras dengan lemang yang sangat popular di kampung itu. Payung juga dihulur, sebagai persediaan. "Naim jangan ikutlah. Mau hujan ni," Fiqo risau. Cuaca malam itu membuat hatinya gelisah. Entah dari mana perasaan itu hadir, Fiqo gagal memberi penjelasan. "Ala.. jalan ja la bah bang. Naim ikut pelan-pelan ya? Pleassshhh..." Dalam rasa berat hati, Fiqo akur juga pada permintaan Naim memandangkan mak ciknya juga sudah lama tidak melihat Naim. Naim tersenyum-senyum apabila Fiqo merangkul tangannya. Tahu bahawa itu petanda dia akan ikut bersama. "Naim pegang tangan abang kuat-kuat tahu?" Fiqo masih berasa kurang senang. Ada sekelumit perasaan yang mengganggu fikirannya. Rasa tidak sedap hati mengetuk jiwanya. Fiqo dan Naim kini berada separuh perjalanan menuju ke destinasi. Ketika itu, awan tidak lagi mampu menanggung beban dan mula memuntahkan isinya ke perut bumi. Bermula dengan hujan yang perlahan dan kini semakin lebat. Fiqo mendukung Naim di belakangnya. Wajah Naim berkerut, anak kecil itu mula ketakutan. Tambahan lagi dengan petir yang kin mula sabung menyabung. Bagaikan memecahkan dinding-dinding langit. Tidak lama kemudian tiba-tiba sahaja bekalan elektrik terputus. Malam itu air laut pasang. Hampir-hampir sahaja mencecah jambatan. Air laut mula bergelora, sesuatu yang jarang berlaku. Angin malam itu begitu kuat. Fiqo gagal memegang erat payungnya yang kini sudah berterbangan. Mujur mereka masih memakai pakaian hujan. Naim semakin takut. Fiqo dapat mendengar hembusan nafasnya yang kini terketar-ketar kesejukan. Fiqo membuat keputusan untuk berpatah balik ke rumahnya walaupun destinasi mereka sudah semakin hampir. Disebabkan bekalan elektrik yang terputus dan keadaan sekeliling yang sunyi tanpa penghuni, Fiqo mengambil jalan yang paling dekat untuk pulang. Dia memilih untuk melalui jambatan yang usang berdekatan dengan sungai yang memisahkan kampung mereka memandangkan laluan asal mereka tadi kini ditenggelami air. Fiqo gagal mencari tempat berteduh. Gelap sahaja kawasan sekelilingnya. Dan ketika langkahnya baru hampir-hampir mendekati penghujung jambatan, "Abang!!!!" Naim terlepas dari dukungan. Jambatan itu runtuh. Fiqo tanpa sengaja memijak kayu rapuh yang membuat tubuhnya hilang keseimbangan. Jambatan itu pula kini mula runtuh satu persatu. Kiranya hanya menunggu waktu sahaja. "Naim!! Naim!!" Fiqo dapat melihat Naim dibawa arus. Tenggelam timbul. Mereka jatuh betul-betul di atas sungai yang kini bergelora dahsyat. Suara Naim semakin jauh, dan semakin lama semakin hilang dari pendengaran. Fiqo berusaha keras melawan arus. Berkali-kali juga dia tenggelam timbul dalam air sungai yang penuh bergelora itu. Cuaca menjadi semakin buruk. Naim kini tidak lagi kelihatan di mana-mana. Tragis. Fiqo akhirnya bertemu sebatang dahan bakau untuk berpaut. Dia berjaya lolos dari perut sungai yang hampir-hampir meragut nyawanya. Tubuhnya basah kuyup. Hujan masih turun dengan lebat tanpa sedikit pun tanda-tanda untuk menjadi reda. Fiqo menjerit memanggil Naim sekuat hatinya. Tiada balasan. Sebak, sesal, amarah, bercampur baur di hatinya. Menyesali keputusannya. "NAIM!!!!!!!" Fiqo teresak-esak. Wajah Naim tidak putus hadir di fikirannya. ************************************************************************************* TAKBIR hari raya yang berkumandang kedengaran sayup sahaja. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejurus selepas selesai solat sunat hari raya Aidilfitri. Semasa melihat Fiqo pulang dalam keadaan basah, matanya kemerah-merahan, dan tanpa diikuti Naim, hampir-hampir sahaja Puan Jubiah rebah ke lantai. Tangisnya tidak henti-henti sepanjang malam. Puan Jubiah hanya berkurung di bilik, berteleku di atas sejadah. Berkali-kali bangkit dan sujud memohon anaknya ditemui semula walaupun sedar akan peluang untuk anaknya ditemui hidup sangat tipis. Fiqo kelihatan sugul. Sepanjang malam hanya termenung dan menangis. Abangnya pula membuat laporan kepada anggota penyelamat dan operasi hanya mampu dijalankan pada keesokan hari. Malam raya kali itu tidak lagi seperti selalunya. Ketika jasad Naim yang pucat tidak bernyawa berjaya ditemui dan dibawa pulang ke rumah, Fiqo adalah yang pertama mendapatkan mayat adiknya. Tidak putus-putus air matanya berjujuran. Puan Jubiah datang memeluk jasad Naim. Fiqo menjadi sugul, kehilangan kata-kata. Puan Jubiah meratap tanpa suara. Sedihnya tidak terkira. Suasana pilu itulah yang menyambut kepulangan ayah mereka, yang bingung secara tiba-tiba pagi raya rumah mereka penuh dengan jiran dan tetangga. Fiqo tidak menjangka bahawa sahur terakhirnya di bulan Ramadhan bersama keluarga adalah sahur terakhir bersama Naim. Waktu berbuka sehari sebelum itu juga Naim tidak seperti selalu, senyap tidak bersuara. Bagaikan tahu malam itu malam terakhirnya. Suatu peristiwa yang akan selamanya bersemadi dalam jiwanya. Tiap-tiap kenangan bersama Naim menjadi teman kala malam bulan mengambang, tabiat yang dikongsinya bersama Naim. Nama Naim kini tersemat dalam sanubarinya, dan menjadi sebahagian daripada namanya sendiri. Fiqo Naim. *nota kaki Salam Aidilfitri kepada sahabat2 yang menjadi pembaca setia. Maaf Zahir dan Batin atas segala kesalahan yang pernah dilakukan, sengaja mahu pun tidak.
Posted by
Fiqo.Naim
0 comments:
Post a Comment