Episode 15 KEPUTUSAN Fiqo untuk tidak menyambung pengajiannya mengejutkan semua orang. Tetapi yang lebih mengejutkan adalah apabila dia menarik segala laporan berkenaan kejadian yang menimpa dirinya. Sesuatu yang hampir meragut nyawanya, dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tiada yang bersetuju namun tiada pula yang mampu mengubah pendiriannya. Iqbal berkeluh panjang ketika mendengar keputusan tersebut, tetapi kekal berdiam seperti selalu. Walaupun hatinya begitu kuat memberontak. Iqbal merasakan dia tahu siapa dalang di sebaliknya. “Kau serius nak pindah?” “Mmm-hmm..” Fiqo menjawab acuh tak acuh. Sibuk mengemaskan barang-barangnya. Cuti semester kali itu merupakan cuti yang amat panjang untuknya. “Nak sambung kat mana?” Laptop masih dipandang. Iqbal membiarkan sahaja Fiqo berkemas sendiri. “Kau nak aku menipu ke terus terang?” Senyap. “Well, I haven’t thinking of going anywhere….yet..tapi nanti ada rezeki aku sambung baliklah. Good Luck dengan roommate baru ko nanti,” Senyap. Irama bilik itu hanyalah bunyi-bunyi barangan dan kotak-kotak tanpa sebarang perkataan. Iqbal berpura-pura membaca blog dan email sedangkan perhatiannya penuh pada rakan sebilik yang sedang mengemaskan barang. “Tengok je ke?” Fiqo cepat menangkap. Iqbal hanya tersenyum lalu membantunya. Suasana senyap itu bersambung dan berlarutan sehinggalah Fiqo tiba di stesen KTM Batu Gajah. Lambaian ukhwah terakhir sesama rakan sebilik. Pap! Tamparan halus di bahu menarik Iqbal dari lamunan. Rutin mengadap laptopnya seperti selalu mengajak fikirannya menerawang sejenak. Sesekali teringat waktu-waktu bermain DOTA dengan Fiqo. Siapa sangka kaki masjid dan program dakwah terlibat dengan DOTA. Dunia remaja sememangnya penuh warna. “Jauh mengelamun,” suara itu menyapa. Senyap. “Gila betul kelas hari ni. Masa bagaikan bergerak terlalu lambat,” Beg dihempaskan ke katil. Tiada warna lain melainkan cadar biru tua dan bantal berwarna merah. Tidak seperti sebelumnya penuh dengan warna warni. Cadar kanak2 dan meja penuh dengan alat tulis. Tetapi kini, meja itu hanya ditemani laptop dan speaker. “Organic Chemistry?” Iqbal meneka. “Bull’s eye! Dude, how did you survived that class?” Organic Chemistry bukanlah subjek yang digemari ramai. Tetapi apabila seksa itu ditambah dengan pensyarah yang kurang kreatif, maka seksanya berkali ganda. Keluhan rakan sebilik Iqbal yang baru itu adalah untuk kedua-duanya. “Hmm… doa banyak supaya kekuatan untuk keep on focus tu ada,” ringkas sahaja. Tetapi padat. “Hmm.. yeah… aku patut ambik sejadah dan doa sekarang.. haha… nice one dude!” Ujarnya tidak serius. Iqbal hanya menggelengkan kepalanya. Sejak hari pertama menerima Taufiq sebagai rakan sebilik yang baru, Iqbal belum pernah mendengar atau melihat apa-apa yang baik daripadanya. Bersangka baik, hanya itu yang mampu dilakukan. Suara yang serupa, wajah yang iras, tetapi sikap sahaja yang berbeza. Fiqo juga gila-gila dan sesekali tidak kelihatan seperti mana-mana lelaki yang suka berkopiah ke mana-mana. Karaoke, hang out for movies, tetapi soal doa dan agama bukan bahan permainannya. Tetapi yang ini, Iqbal harus bertahan. Taufiq mengeluh bagaikan baru sahaja melalui hari yang panjang. Tertinggal satu semester di belakang Iqbal dan rakannya yang lain memberinya banyak peluang dan kelebihan. Tambahan pula dia bertuah kerana Iqbal banyak menghulurkan bantuan dan memberi buku-buku yang tidak digunakan. Tetapi untuk beberapa hal, dia tidak senang kerana sering dibandingkan dengan saudaranya, Fiqo. “Kau banding aku dengan dia lagi, kan?” Senyap. Iqbal cuba tidak membangkitkan isu. Dia harus akur bahawa sememangnya Taufiq seringkali dibandingkan dengan Fiqo. “Okay, you know what dude? Im over this. Every where I go people keep on comparing me with that so-called good guy. Lame..korang tau tak? His mother might have the same genetic of my mum. Well its not my fault there are twins kan? Tapi at least korang stop comparing. Im not him and vice versa. End of story. Look at my eyes, it glares more that his and I am taller.,” Iqbal masih berdiam. Berhentilah jugak dia nanti tu, monolognya sendiri. Sangkaannya betul. Beberapa kali juga perkataan-perkataan kesat keluar dari mulutnya tetapi akhirnya Taufiq meninggalkan bilik. Suatu rutin biasa apabila Taufiq dalam keadaan tertekan. Sama seperti Fiqo. Oops…aku banding dia lagi, fikir Iqbal, sambil tersenyum. Azan berkumandang. Walaupun sayup-sayup kedengaran tetapi setiap kalimat mampu didengari jelas. Iqbal langsung tidak sedar dia telah ‘menelaah’ laptopnya sejak waktu zohor tadi. Punat hibernateditekan. Laptop diberi rehat. Iqbal sedang berkemas diri ketika Hazim meluru masuk. Kaget. Hampir sahaja Hazim melihatnya dalam keadaan separuh bogel. “Eish hang ni! Kalau ye pun ketuklah,” ujar Iqbal seakan-akan marah. Segera tuala mandi miliknya menutupi tubuh. Sesama lelaki juga kena jaga aurat, ingatan daripada ustaz yang takkan pernah dilupa. “Sorry, tak sengaja. Anyhow, ko nak key untuk Karspesky kan? Aku ada bawak sekarang,” “Ni yang lepas 3 minggu then busted?” balas Iqbal sambil mengangkat kening double jerk. “Hang nak ke tidak?” “Ala buat kemudian je la. Kan dah azan tu. Join aku kat surau V3, jom!” “Taufiq mana?” “Storms out tadi. Stress kot,” Iqbal berhelah. Berkeluh. “Sama je ngan roommate lama hang. Ada problem je nak lari,” “Hang jangan nak mulakan sesi mengumpat kat sini,” Hazim tersenyum kambing. “Hang dah dengar pasal Hamizan?” Iqbal terhenti. Baru sahaja hendak melangkah keluar tiba-tiba sahaja nama itu singgah di gegendang telinga. Bukanlah benci tetapi.. “Kenapa dengan dia?” Bersambung…. Episod 16 LAMA Iqbal bermundar-mandir di biliknya. Rahsia yang berjaya dibongkarnya petang tadi bukan sebarang rahsia. Segala celaru yang bermain di mindanya selama ini hampir-hampir terjawab. Belum sempat dia duduk lama lama, dia berdiri pula. Kemudian duduk lagi. Akalnya diasak dengan pelbagai persoalan tetapi satu persatu cuba dileraikannya sendiri. Taufik hanya memandang sahaja, kemudian sengaja menyibukkan dirinya di hadapan komputer riba. Iqbal sempat kembali ke sekolah lamanya pada petang sehari sebelum itu. MRSM Merbok. Mengambil sijil bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya yang sepatutnya diambil lama dulu. Kebetulan kesemua kelas pada dibatalkan, maka hajat yang selama ini tertangguh itu dilunaskan. Siapa sangka langkahnya kembali ke tempat didikannya dahulu memberinya habuan berbentuk maklumat. Fail yang bertindiih bersama menarik perhatiannya ketika sedang mencari-cari sijilnya. Izyan Hawa Binti Abdullah. Nama yang kelihatan begitu tidak asing itu seakan-akan memanggil Iqbal untuk melihatnya. Belum sempat tangannya mencapai fail tersebut, ada tangan lain yang lebih dahulu menyambarnya. Sedikit kaget, Iqbal cuba berlagak selamba. Rupanya pemilik tangan itu adalah Izyan, tuan empunya fail tersebut. "Eh, kamu belajar kat sini ke sebelum ni?" Izyan menegur mesra dalam kehairanan. Iqbal terkejut. Dahinya berkerut sedikit. Hairan. Angguk sahaja. "Saya Izyan,.........." -ye aku tengok kat fail tu dah, bisik Iqbal dalam hatinya- ...adik Izzati Hawa, rasanya kamu kenal kakak saya," Izyan menghabiskan kata-katanya. MasyaAllah. Iqbal terkelu lidah. Tiada kata bicara yang terungkap, hatta dalam bentuk bisikan hati sekali pun. Tergamam mendengar kenyataan gadis cilik di hadapannya. Tanpa sedar, perbualan mereka beranjak sehingga ke kafe. Begitu banyak cerita yang Iqbal dengar daripada adik Izzati ini. Mesra sahaja orangnya. Dia mengecam Iqbal melalui sekeping gambar yang kebetulan berada di laptop kakaknya ketika cuti. Itu pun hanya dari sisi sahaja. Namun Izyan cukup yakin untuk menegur Iqbal. Iqbal kembali ke alam nyata. Sedikit-sedikit peristiwa yang berlaku ketika kunjungannya ke MRSM Merbok menerjah ke mindanya. Wajah Izzati dan Izyan sememangnya iras, menambahkan lagi keyakinan bahawa mereka sememangnya bersaudara. Getar telefon bimbit di dalam lacinya langsung tidak disedarinya sehinggalah Taufik menegur. Sudah menjadi tabiat dan kebiasaannya untuk membiarkan telefon bimbit dalam mod senyap, dan hampir setiap hari ada sahaja panggilan yang terlepas atau sms yang lambat dibacanya. Suatu habits yang sudah lali pada Fiqo', dan kini Taufik pula yang semakin serasi dengan sikapnya itu. Pasti orang lain yang menyedari getar telefonnya sendiri. "Weh mamat, handset ko bunyik la.." "Oh..sori tak perasan.." "Engkau ape la yg engkau perasan... hmm.. lain kali jgn letak jadi silent..org cari kau, aku pulak yang jadi reminder tak bergaji," Kali ini suara *** "Adik saya tak kasar dengan awak ke?" Epool memulakan kata. Dia berkeras mahu bertemu dengan Khadijah walaupun berkali-kali Khadijah menolak. Ketika bertemu di Kafe Sayang berdekatan blok V2c, mereka duduk selang semeja. Khadijah membawa teman. Sahabat halaqahnya. Epool ditemani Hamizan. Kali pertama memandang Khadijah, Hamizan kehilangan kata. Terlalu cantik untuk digambarkan, fikirnya. "Alhamdulillah tak pernah pulak setakat ni. Bagi saya Izzati perempuan yang baik, saya kagum dengan cara dia bertegas dengan lelaki," Diam. Epool kenal adiknya. Kaki lelaki. Khadijah sebenarnya tahu, cuma enggan menyebarkan aib rakan sebiliknya. "Sebenarnya Izzati tertekan. Sejarah keluarga kami tak seindah yang kelihatan," Epool membuka topik. Khadijah diam, tanda membenarkan Epool meneruskan cerita. "Pertama, masa saya berusia lebih kurang 5 tahun, dan Izzati lebih kurang 3 tahun setengah, ada insiden yang menyebabkan ibu kami hancur hati," Suasana bingar kafe Sayang gagal mengganggu fokus Khadijah dan Hamizan yang begitu menumpuka perhatian pada penceritaan Epool. Sesekali Hamizan dapat melihat ada cairan bening yang bertakung di kelopak mata Epool, tetapi tidak meluncur ke ke pipi. Ada suara ketabahan dalam bicaranya, yang turut menanggung beban rasa Izzati yang lama tidak dihirau oleh ibunya sendiri. Selama membesar, dialah ibu bapa kepada Izzati. "Subhanallah. Terus terang saya tak pernah tahu hal ni," Khadijah sudah sarat dengan air mata. Begitu juga sahabat yang dibawa bersamanya. Hamizan seperti biasa, faham tetapi gagal membentuk rasa yang betul sebagai reaksi pada cerita yang baru didengarnya. Walaupun sebenarnya hatinya sebak, namun raut muka bersahaja. "Cuma akhir-akhir ni saya dapat nampak perubahan dia. Malah dia tak beri saya mendekati awak," Senyap. Suasana kafe semakin bingit dengan kehadiran lebih ramai penuntut UTP yang mahu menikmati makan tengahari mereka. "Epool, boleh saya beritahu kamu sesuatu?" Topik beralih arah. Epool berharap benar penantiannya berakhir. "Kamu pernah tanya saya sesuatu sebelum ni kan? Melalui sms," Angguk. "Tidak molek bagi saya untuk memberi jawapan begini. Tapi saya rasa ini yang terbaik. Memandangkan nanti kalau saya balas melalui cara yang sama, kamu takkan percaya," "Atau pun jika saya hantarkan wakil kamu akan tidak percaya.." tiba-tiba sahaja suasana hingar menjadi sunyi pada pendengaran Epool. Setiap baris kata Khadijah didengarnya dengan teliti. "Maka ini jawapan saya, dan terimalah dengan hati yang jujur dan ikhlas," Sepucuk surat bersampul putih dihulur. Epool menyambutnya sambil tersenyum. Sekurang-kurangnya penantiannya bertemu titik noktah. "Berkenaan Izzati, InsyaAllah, saya akan berusaha jadi sahabat yang baik untuk dia. Assalamualaikum," Khadijah berangkat pergi tanpa menanti Epool menjawab salamnya. Tudung labuh berwarna hitamnya beralun ketika ditiup angin. Jelas keayuan pada wajah yang tiada noda jerawat itu. Hamizan dapat melihat wajah kemerah-merahannya ketika dia menangis tadi. Anggun dilitupi tudung bulatnya. "Aku tak tau pulak adik kau macam tu," Hamizan akhirnya bersuara. Sejak tadi diam sahaja dia. Menjadi pendengar setia. "Banyak lagi yang kau perlu belajar pasal dia. Kau kan bakal adik ipar aku..hahaha," "Ke situ pulak dia. Apa isi surat tu?" Kening double jerk diangkat-angkat. Teruja hendak membongkar isi sampul berwarna putih. Epool perlahan-lahan membuka kemas sampul yang baru diterimanya itu. Kelibat Khadijah tidak lagi kelihatan di mana-mana. Bagaikan pelesit sahaja. Isi kandungan surat itu dibaca satu persatu. Dan akhirnya air mata yang sekian lama tidak berjuraian, runtuh bersama egonya. bersambung. PETANG itu cuaca agak cerah. Angin berhembus nyaman menerobos tetingkap bilik. Jam berbentuk hati berwarna merah di atas meja belajar menunjukkan waktu hampir meniti senja. Langit juga sudah mula menampakkan tanda-tanda akan bertukar wajah. Kaki bola sedang sibuk di padang futsal, manakala ramai pula yang sedang menghabiskan waktu petang mengelilingi tasik UTP dengan berjoging, tidak kurang pula pasangan sejoli yang asyik berkepit ke sana sini. Kelihatan pengawal keselamatan seperti biasa, masih menjalankan rutin tugas memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke dalam kampus. Ada yang pantas sahaja masuk ke dalam, tidak kurang pula yang ditahan, dan melayanglah kertas saman atas kesalahan yang sesekali tidaklah serius seperti yang digambarkan. Tetapi ini UTP, penuh dengan kejutan! Di suatu sudut tasik itu kelihatan Izzati sedang duduk memanaskan badannya. Bersedia untuk berjoging. Hari ini dia agak lewat kerana menghabiskan masa menyelesaikan assignment yang bertangguh. Kasut Nike berwarna biru itulah yang menjadi teman senamannya selama ini. Izzati kelihatan ayu sahaja, bahkan ramai mata-mata yang sedang memerhatikannya, sama ada lelaki mahu pun yang sejantina dengannya. Rambut beralun ditiup manja angin petang. Kali ini pakaiannya lebih tertutup, tidak seperti selalunya. Cuma bahagian kepala sahaja lagi perlu penambahan. "Hye gorgeous!" Terhenti sejenak. Suara itu sangat dikenalinya. Ex-boyfriend aku yang mana pulak lah ni. Kepala ditoleh. Wajah berkaca mata itu sangat dikenalinya, bahkan pernah dipuji-pujinya. Kacak. Kali ini dia tidak bersendiri. Apa pulak mamat cina ni buat kat sini? Siap bawak geng pulak... Izzati hanya diam. Tiada satu patah pun yang keluar. Hanya dipendam di hati, tidak diluahkan. "I duduk sini boleh?" Suara itu sengaja ditukar menggoda. Uuuuuuuuuu.... rakan-rakan Hazlam mengusik. "Hmm.. duduk je lah. Bukan aku larang pun," Akhirnya bersuara. Hazlam tersenyum. "Amboi.. garang nampak. Biase manje je dengan I," pipi Izzati disentuhnya. Segera ditepis. Marah. uuuuuuuuuuu... dia marah!.. hahaha.. Serentak sahaja suara 3 lelaki itu. Bagaikan boria. "Hoi, ape pegang-pegang ni?" Izzati berhenti dari rutin memanaskan badannya. Kali ini hatinya pula yang jadi panas. "Aik.. selalu tak pernah kisah pun. Siap I cium pipi lagi kan?" Tangan itu menjalar ke jari jemari Izzati pula. Cuba menggenggam. Kali ini kaki Izzati pula memberi jawapan. Sentap! Kesakitan itu sukar digambarkan. Hazlam terduduk. Hampir-hampir biji matanya tersembul keluar. "Kalau kau tak takut mandul, buatlah lagi!," suara lentingan Izzati dapat didengar jelas oleh orang-orang yang berdekatan. Bahkan pelajar-pelajar junior yang sedang duduk bersantai lebih kurang 50 meter dari tempatnya dapat mendengar jelas. Semua mengangkat leher dan memusingkan kepala, mahu melihat adegan yang berlaku. Izzati maju lagi. Hazlam berundur terduduk. Masih sakit. Kolar baju Hazlam ditariknya. "Hoi mamat, kan aku dah kata, aku tak nak tengok muka kau lagi...? Mana dah awek kau tu? Dasar dua-dua pengkhianat!," Hazlam tidak menjawab apa-apa. Masih mengerang kesakitan. Tendangan Izzati tepat mengena. Aku jawab lagi memang aku mandul! Hazlam berdiam sahaja. "Kau mainkan perasaan aku, kau tipu aku, dan sekarang kau cari aku???!!" Izzati kehilangan sabar. Semakin tinggi kolar baju Hazlam ditariknya. Ketika itu, Khadijah sedang berjalan-jalan bersama Sofiya, adik juniornya selepas program halaqah di masjid lama. Dia hairan melihat ramai orang sedang berkumpul berdekatan dengan seorang wanita yang kelihatan seperti mengamuk. "Sofi, ada apa tu?" Sofiya juga turut melihat. Tetapi tidak tahu apa-apa yang berlaku. "Entahlah kak. Nak pergi tengok ke?" Khadijah berbelah hati. Namun setelah ditelitinya, Khadijah dapat melihat kelibat wanita itu adalah Izzati. Istighfar segera meniti di bibirnya. Langkah dipercepat. Sofiya mengikut dari belakang. "Hey perempuan, kau ingat kau siapa nak hentam boy aku haa??" Lia muncul secara tiba-tiba. Rambut Izzati ditariknya kasar. Terhumban gadis itu ke tepi. Lia tidak menunggu lalu menyerang lagi. Kali ini Izzati bersedia. Perut Lia disepaknya kuat. Senak perut dibuatnya. Orang sekeliling hanya memandang, tidak berani ikut campur. Ada pula yang sedang bersorak kegembiraan. Lumrah manusia, ada yang suka melihat orang lain bertelingkah di hadapan mereka. Hazlam semakin kecut perut. Kesakitan yang dirasakan pada anggota bawah pusat itu semakin dirasainya. Sesal menyelingkar kerana mengusik Izzati tadi. Tidak pernah dilihatnya Izzati segarang itu. Lia dan Izzati semakin galak berhentam. Khadijah pula semakin hampir. Kelompok manusia semakin ramai pula. Pengawal keselamatan yang dapat melihat situasi kelam kabut itu juga semakin mendekati. Situasi semakin hangat. Izzati hampir-hampir melepaskan penampar keduanya sebelum tangannya digenggam keras. Lia sudah lemah tidak melawan. Perutnya benar-benar merasa penangan kaki Izzati. "Astarghfirullahal'azim Hawa! Apa awak buat ni?" Senyap. Seluruh khalayak yang berkumpul di situ hanya diam. Sofiya juga kaget dengan ketegasan Khadijah. Tbuh Izzati bagaikan kaku. Terasa benar genggaman tangan roommatenya itu. Sofiya membantu Lia yang kelihatan kusut masai untuk berdiri. Hazlam kaku tidak berkata apa-apa. Khadijah tiba tepat pada waktunya. Kalau dibiar sahaja, naik amuk Izzati rasanya. "Istighfar Hawa!" Suara itu lembut, tetapi tegas sahaja kedengaran. "Awak juga, sampai hati melihat sahaja. Kaum wanita bukan bahan tontonan untuk hiburan kalian!" Kali ini Khadijah memandang Hazlam. Wajahnya beralih arah pula. "Kamu semua, ada dua orang wanita yang sedang berkelahi, dan saya lihat ada lebih daripada 10 orang lelaki di sini. Ada lebih 10 orang juga yang sejantina dengan saya, apakah terlalu sukar untuk menghentikan pergaduhan? Atau sekurang-kurangnya panggil pak guard untuk dapat meredakan keadaan? Apakah kami ini bahan hiburan untuk kalian semua?" Kali ini air mata Khadijah berjujuran. Tidak tertahan hatinya melihat keadaan sebegitu. Khadijah orang yang sangat dihormati di UTP, maka tiada yang bersuara ketika Khadijah mengungkapkan kata-katanya. Nafas ditarik dalam. Khadijah diam. Tidak mahu berlebih-lebihan dalam bicaranya. Pak guard akhirnya tiba. Khalayak yang berkumpul tadi semakin bersurai. Tinggal Hazlam, Izzati, Khadijah, Sofiya dan Lia sahaja. Khadijah masih menggenggam lengan Izzati. Bagaikan tidak mahu dilepaskan. "Apa yang awak buat ni Hawa?" Persoalan yang begitu halus itu menyentuh hati Izzati. Bagaikan baru tersentak dari mimpi ngeri, Izzati segera memeluk Khadijah lalu menangis. Deras sahaja air matanya mengalir. Sesuatu yang jarang dilakukannya semenjak masuk ke UTP. Menangis. Lia menahan sakit di perutnya. Sofiya mengusap belakang Lia agar dia berasa lega. Lia tersentuh hati, gadis cilik bertudung bulat yang tidak pernah dikenalinya itu berjaya menyentuh hatinya. Dia juga menangis. Terasa bodoh berkelahi kerana seorang lelaki. Hazlam perlahan-lahan bangun dan cuba meninggalkan tempat itu. Pak guard segera menahannya untuk usul periksa. Kejadian itu sesuatu yang memalukan universiti, memandang ada orang luar yang melihat sendiri peristiwa tersebut. Wajah Hazlam bertukar pucat. Dia tahu ada hukuman berat yang menanti mereka, bergantung pada budi bicara badan disiplin kampus. Izzati masih menangis. Teresak-esak di bahu Khadijah. Niat berjoging petang itu bertukar tragis dan kejam. Izzati tidak pernah menjangka dia akan bertindak sedemikian rupa. Bergetar. Telefon bimbitnya yang diletakkan dalam mod senyap bergetar. Ada panggilan masuk. "Izzati, awak harus cari abang awak segera.. Saya risau dia buat perkara yang diluar jangka!" Hamizan tercungap-cungap bersuara apabila panggilan diangkat. Ketar suaranya begitu jelas memperlihat kerisauan. Tetapi mengapa? Itu persoalan yang berselirat di fikiran Izzati. bersambung..
Posted by
Fiqo.Naim
Episod 17
0 comments:
Post a Comment