Episod 8 :
Beberapa hari sebelum itu :
Langit redup. Tiada kelihatan burung-burung berkawanan merentas ruang udara. Angin bertiup seakan-akan mahu tidak mahu, namun cukup untuk melegakan rasa ketika angin menampar permukaan tubuh. Rerumput kelihatan sedikit kering, tetapi bukanlah suatu pemandangan yang janggal di tanah Tronoh itu. Kelihatan beberapa orang pekerja pembersihan sedang mengangkut sampah ke dalam lori. Ada beberapa lagi sedang sibuk mengutip pinggan mangkuk tinggalan pelajar yang usai menghabiskan makan tengah hari mereka. Sesekali kelihatan ada yang berkeluh melihat pinggan yang masih berisi. Lumrah. Seakan-akan manusia sudah lupa akan erti bersyukur.
Pintu bilik dikuak. Kosong. Kelihatan Iqbal sedang khusyuk mengadap komputer ribanya. Kehadiran Hamizan ke bilik langsung tidak disedarinya. Hamizan menjenguk ke petak bilik Fiqo tetapi gagal melihat kelibatnya. Hairan. Jarang sekali Fiqo gagal dijumpai setiap kali dia bertandang. Belum sempat lidahnya bertanya, Fiqo muncul di muka pintu.
“Eh, bukan kau kata nak datang lepas pukul 11 ke?” Fiqo berkata penuh hairan.
Iqbal kaget. Apabila tubuhnya mengadap belakang didapatinya Hamizan dan Fiqo sedang berpandangan. Tidak lama kemudian dia mengadap komputernya kembali. Tidak kisah.
“Memanglah pukul 11. Hang baru nak siap ke? Ni dah pukul 11 dah ni,”
“Eh, yeke?! Adeh. Sorry la. Aku kalau jumpa air memang pantang. Nak je aku mandi lama-lama. Kejap ye..”
Fiqo meluru ke petak biliknya. Segera pintu almari pakaian dibuka luas. Tubuhnya terlindung di sebalik papan kayu itu. Suatu kebiasaan, walaupun dalam hostel lelaki, Fiqo tidak berasa selesa tanpa pakaian, sekurang-kurangnya di hadapan orang lain.
Hamizan mengintai-intai komputer Iqbal. Cuba melihat apa-apa yang sedang Iqbal lakukan. Gagal. Secara tiba-tiba Iqbal menutup aplikasi yang sedang dihadapnya.
“Hang memang takde kerja lain kan?” Dingin sahaja suara itu. Hamizan kaku ketika Iqbal secara tiba-tiba berdiri lalu memanah kata-kata itu padanya. Sejarah hubungan mereka tidak baik, sekurang-kurangnya semenjak semester pertama di tahun Ijazah tahun itu. Mulanya di mana, itu belum dapat dijawabnya.
Iqbal meluru keluar tanpa banyak kata. Fiqo tidak hairan malah langsung tidak mempedulikannya. Fiqo lebih faham akan rasa rakan sebiliknya itu dan tiada apa-apa yang perlu dirunsingkan setakat ini. Dilihatnya pula Hamizan yang tergamam tanpa kata. Tersenyum.
“Kau hairan? Tak payah fikir. Haa, aku dah siap dah ni. Hazim dengan Alif mana?” Topik bicara bertukar arah. Hamizan mengikut sahaja. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.
“Ada kat kereta. Ni nak pergi mana ni?”
“J.J la. Takkan nak pergi Ipoh Parade pulak. Orang-orang loaded boleh la. Hehe…”
“Bukan sama je ke?”
Fiqo tidak menjawab. Sengaja dibiarkannya tergantung.
“Oh ya, Fiqo, ada satu benda aku nak tanya,”
Fiqo mendongak kepalanya. Tali kasutnya masih bersisa tidak terikat. Raut wajahnya memberi isyarat supaya Hamizan meneruskan persoalannya.
“Emh, aku tengok beberapa hari ni Iqbal asyik jumpa Izzati Hawa. Ada apa-apa ke?”
Fiqo tidak dapat mengklasifikasikan soalan itu sebaiknya. Sama ada berbaur cemburu atau sekadar ingin tahu. Fiqo sangat jelas akan sekelumit rasa yang dirahsiakan Hamizan, dan begitu faham akan keadaan antara Iqbal dan Izzati pula. Hendak mulakan jawapan dari mana, itu yang menjadi persoalan.
Bersambung….
Episod 9:
Alif mencongak dengan jarinya. Berkira-kira akan wang simpanan yang masih bersisa di dalam akaunnya ditambah dengan elaun tambahan MARA yang bakal diterima. Alif bercita-cita untuk mendapat sebuah motosikal untuk dirinya lantaran sedar akan keperluan dirinya untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu kenderaan di kampus itu. Hazim diam sahaja. Alif bagaikan tidak wujud.
Kedengaran di luar My V hitam itu sayup-sayup bunyi desir angin yang menampar udara. Selang antaranya berbunyi kesan geser penyapu pada lantai simen dan jalan tar, dek daripada tindakan para pekerja pembersihan yang berada berdekatan. Sesekali kedengaran deruman enjin kenderaan yang lalu lalang. Namun semua itu langsung tidak mengganggu konsentrasi antara kedua-dua lelaki ini. Hazim bersahaja melihat awan, dan Alif masih menghitung jumlah ‘installment’ yang perlu dibayarnya nanti.
“Hazim, motor tu nanti saya ingat dapat je nak modify. Biar nampak lawa sikit,”
Diam. Tiada respon.
“Weh, Hazim! Saya tengah cakap dengan awak ni. Dengar tak?”
Kaget. Sistem tubuh Hazim beranjak ke tahap tinggi. Hampir sahaja dia terlompat. Entah bagaimana lamunannya menjadi begitu jauh, sehingga ditegur tidak perasan.
“Awak cakap kat saya ke?” Hazim terpinga-pinga.
“Taklah..saya cakap kat strereng kereta kat depan tu,”
Alif menyindir. Selamba.
Hazim melihat ke hadapan. Stereng itu diam. Perlahan-lahan baru dia sedar bahawa ayat itu berbaur sindirian.
“Of course dengan awak. Pelik la awak ni. Menghayal sampai ke mana dah tadi?”
“Takdelah Alif. Ha awak cakap apa kat saya tadi?”
“Macam ni. Saya ingat modify sikit motor saya nanti. Saya dengar bentuk asal motor yang saya nak beli ni tak berapa cun. Nak kena touch up sikit”
Alif menuding ke arah satu muka surat dalam sebuah majalah di tangannya. Penuh semangat dia menunjuk gambar motosikal bakal miliknya itu. Hazim tersenyum.
“Awak jangan sampai guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Belum ada pun motosikal tu dengan awak, dah berangan macam-macam,” Sindiran berbalas.
“Tak lah. Hidup kena ada perancangan, baru semuanya jadi mudah, kan?”
“Ye lah Alif. Layan je lah awak ni,”
Hazim kembali melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Masih terbayang akan situasi yang dilihatnya tiga hari sebelum itu. Ketika dia terserempak dengan Izzati dan Iqbal yang sedang berbual sesuatu di luar kelas semasa dia hendak membasuh mukanya. Perbincangan itu kelihatan serius walaupun wajah Izzati ketika itu seakan-akan mengejek Iqbal. Jarang sekali Iqbal bersemuka dengan mana-mana perempuan, apatah lagi berbual lama. Baginya, ini yang pertama.
“Mana Mizan ni?” Alif beralih fokus. Tidak lagi pada motosikal.
Soalannya tidak berjawab. Hazim masih khusyuk memandang langit yang agak suram. Dari kejauhan, kelihatan Fiqo jalan beringinan dengan Hamizan menuju ke kereta. Alif lega. Penantian baginya adalah penyeksaan.
“Maaf semua. Lambat sikit,” Ujar Hamizan ketika memasuki kenderaan. Fiqo tersenyum.
“Patut aku yang minta maaf. Aku tak sedar dah pukul 11. Jangan marah keyh? Korang faham je la aku kalau nak bersiap, hehehe…”
“Iqbal tak ikut sekali ke?,”
“Naik kereta Hamizan? Jalan sekali dengan dia? I don’t think so. The moment aku bagitau dia nak keluar dengan Mizan, mentah-mentah dia tolak.
Tiada respon. Semua diam tidak berbicara. Tiada seorang pun yang faham akan tindak tanduk Iqbal akhir-akhir ini.
MyV hitam itu meluncur keluar dari perkarangan parking Village 2, hostel tempat mereka sama-sama menginap. Masing-masing melayan diri sendiri, tiada topik perbualan jadi bahan perbincangan. Kenderaan berwarna hitam itu kekal senyap, sehinggalah tiba di kawasan lampu isyarat berdekatan daerah Pusing.
“Mizan, kau pernah terfikir tak, macam mana orang lain fikir tentang satu-satu tindakan kita?”
Fiqo memecah suasana bisu dalam kenderaan MyV berwarna hitam itu. Langit sedikit redup. Hamizan dan Fiqo dalam perjalanan mereka menuju ke Ipoh. Bersantai.
“Hang ni tanya soalan cepu emas. Of course la aku kisah..”
“Bukan kau ni sepsis senseless ke?”
Fiqo berseloroh dalam seriusnya bertanya. Hamizan tersengih. Dia dapat mengagak bahawa itulah yang akan dikatakan Fiqo. Sememang apabila melihat kembali kepada sikapnya terhadap hampir semua perkara, Hamizan kelihatan bagaikan tidak kisah akan perkara yang tiada sangkut paut pada dirinya. Bahkan gelaran “senseless” itu bukanlah yang pertama, malah sesuatu yang sudah lali di gegendang telinganya.
“Aku human being la Fiqo. Tipulah kalau aku kata aku tak kisah. Hang pun, dalam keadaan hang trying to be like ‘happy-go-lucky’ punya orang,hang sendiri pun memendam rasa kan?”
Alif dan Hazim yang duduk di tempat duduk belakang hanya diam. Perbincangan seumpama bukanlah sesuatu yang lumrah untuk mereka. Ruang perlu diberi. Hamizan dan Fiqo sedang berkoreksi.
“Sah2 lah aku kisah. Tapi tak semua benda kita perlu nak sibuk-sibukan. Ada beberapa perkara tu tinggalkan je macam tu, tak pening kepala”
Fiqo memandang jauh ke atas jalan raya. Sesekali matanya melirik ke atas awan. Redup sahaja. Seredup rasa yang disimpannya.
“Kenapa ni Fiqo? Ada org cakap buruk pasal kau ke?” Hamizan menyambung apabila Fiqo hanya berdiam.
Mengena.
Hamizan kembali meletakkan fokusnya kepada pemanduan. Radio yang tadinya perlahan dikuatkan sedikit bagi mengisi sunyi kenderaan. Alif memandang ke luar. Begitu juga Hazim. Namun minatnya lebih untuk mengetahui perkara yang menggusarkan Fiqo.
“Dahlah tu Fiqo. Biasalah tu. Manusia adalah jenis tipikal. Suka mencari kesalahan orang. Kau pun sama jugak kan? Tak cari kesilapan tatabahasa aku satu hari mcam tak sah…Biasalah tu kadang2 org memperkenakan kita,” Hazim cuba berseloroh. Suasana kelabu di kereta itu cuba diceriakannya.
“Memperkena la Hazim,” Ujar Fiqo sambil tersenyum.
“haa..tgok tu!”
My V hitam itu kini diselangi gelak ketawa. Kehambarannya sudah mulai hilang, dan Fiqo tidak lagi pada momentum kesedihannya. Langit yang redup kembali ceria, seakan-akan meraikan mereka.
Bersambung….
0 comments:
Post a Comment