Khadijah membelek-belek buku Organc Chemistry di hadapannya. Sejak langkah pertamanya masuk ke dalam perpustakaan besar itu, fikirannya menerawang ke sana sini. Buku yang dibukanya langsung tidak memberi kesan. Suasana sunyi perpustakaan menambah perisa pada khayalannya. Khadijah lesap walaupun jasadnya sedang duduk kemas di atas kerusi tingkat 3 perpustakaan itu. Sendiri.
“Mama ingat nak Nur mempunyai ikatan lebih awal. Kalau boleh mama nak Nur bertunang awal,”
‘MasyaAllah mama, tidakkah terlalu awal untuk anakmu ini terikat pada siapa-siapa?’ Bisik Khadijah sendiri. Panggilan Nur sudah sebati dalam dirinya semenjak kecil lagi. Tetapi di kampus hanya seorang sahaja yang tahu panggilan itu. Hanya dia.
Kata-kata ibunya benar-benar menggamit perasaan. Bagaikan ternoktah segala pendiriannya yang ditanam dalam-dalam saat kakinya melangkah masuk ke universiti idaman ramai itu. Universiti Teknologi PETRONAS, mendengar sahaja namanya menjulang-julang kebangsaan ibu bapa yang mempunyai anak yang bergelar mahasiswa di situ. Namanya gah seteguh syarikat petroleum gergasi yang sedang menjulang naik namanya di seantero dunia. Namun semua itu bagi Khadijah hanya nama dan unsur dunia, tiada yang istimewa. Baginya, pelajaran dan membanggakan keluarga serta agama yang dianutinya, yang diyakininya lebih penting daripada segalanya.
Khadijah pula bukanlah berketurunan keluarga yang serba islamik, bahkan Khadijah baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia dakwah dan tarbiyyah, apatah lagi semenjak kakinya diinjak di universiti itu, Khadijah memaut hati dan cintanya pada agama. Khadijah sendiri mempunyai rahsia hitam, mempunyai masa silam gelap yang sering kali membuatnya mengeluh panjang setiap kali Khadijah membawa memori itu keluar untuk diimbau. Kali ini langkahnya langkah mujahidah di medan peperangan, PANTANG BERUNDUR!
Tekadnya dibulatkan. Peristiwa silam menjadikan dia lebih berjaga-jaga dengan kehidupan. Khadijah pernah merasakan rasa indah sementara. Indah yang hanya untuk seketika dirasa, bercinta dengan seorang lelaki yang kononnya setia padanya. Khadijah pernah tenggelam dalam janji manis seorang lelaki, namun semua itu kini berlipat dalam sejarah. Khadijah malu setiap kali memikirkannya.
Khadijah membuka diarinya. Sekeping gambar bersaiz kecil terpampang betul-betul di muka hadapan diari hijaunya. Khadijah bingung. Wajah seorang lelaki yang pernah disukainya. Dalam banyak-banyak perkara, Khadijah menyimpan gambar itu untuk suatu sebab yang tidak pernah diceritakannya pada sesiapa. Hanya kepada Dia. Hanya Dia. Gambar itu dipandangnya agak lama. Bingung semakin bertambah.
‘Kalaulah mama tahu….’
“Oit!! Ha… menghayal jauh engkau ye?”
Kaget. Itu yang dirasakannya. Entah sejak bila Izzati tiba-tiba berada di sebelahnya.
“Astargfirullah Hawa. Terkejut saya,” Diari hijau segera ditutup. Khayalannya kembali bersimpul dalam kotak memori.
“Kau tengok apa dalam buku hijau kau tu tadi Khadijah? Boyfriend?”
“Ha? ..Emh.. tak da apa-apa lah Hawa. Saya tengok perancangan bulanan ni. Sibuk sikit bulan ni.. Takkanlah saya ni ada teman lelaki pulak Hawa. Saya tak macam kamu. Cantik, tinggi pulak tu.” Khadijah berhelah. Sememangnya tadi dia ada mengintai sedikit catatan perancangan bulanannya. Tetapi tidak lama. Sekadar sekali imbas. Rasa ingin tahu Izzati cuba dimatikannya dengan pujian.
Diam.
Berhasil. Izzati tidak menyambung pertanyaannya. Hajatnya bertemu rakan sebiliknya itu sebenarnya mahu mengajaknya ke pasar malam di Taman Maju, sebuah Bandar kecil yang terletak hampir dengan Universiti Teknologi PETRONAS, UTP. Pasar malam itu hanya berlangsung sekali dalam setiap minggu, hanya pada hari Rabu. Pada ketika inilah kebanyakan pelajar, mahu pun staf dan pensyarah serta penduduk dari segenap pelosok daerah Tronoh akan datang meramaikan suasana pasar malam. Pelbagai produk yang dijual, daripada makanan sehinggalah pakaian dan keperluan rumah, serba lengkap dalam kekurangan dari segi pilihan dan persekitaran. Namun sehingga tika itu, tidak pula pengunjungnya berkurangan, bahkan semakin meriah jadinya.
“Emh… boleh kot. Tapi kamu lah yang drive. Kaki saya lenguh hari ni asyik berjalan ke sana ke mari. Banyak urusan.”
“Kau ni sibuk je aku tengok. Tak pernah ada waktu kau tak sibuk ke? Emh,..yelah2,.. aku drive. Tapi kalau accident kau jangan merungut pulak.. hehe”
“InsyaAllah tak da apa-apa. Saya yakin dengan kamu.”
Izzati berasa sedikit bangga mendengar pujian itu. Tetapi entah mengapa, secara spontan dia beristighfar, saat teringat pesanan Khadijah bahawa riak itu syirik. Terkesan.
“Khadijah, terima kasih,” Spontan lafaz itu terkeluar dari mulutnya. Khadijah hanya mengangguk dan tersenyum, sedangkan pada hakikatnya dia sendiri tidak tahu untuk apakah ucapan itu diberi padanya. Buku di hadapannya dikembalikan ke rak. Izzati melangkah terlebih dahulu ke lif selepas memberitahu Khadijah dia akan menunggu di bawah berdekatan dengan pintu masuk.
Ulah Izzati menyimpangkan perhatian Khadijah pada idea ibunya. Khadijah kembali berfikir dalam. Haruskah pinangan itu diterimanya?
bersambung...
0 comments:
Post a Comment